Wednesday, August 19, 2009

API DAN AIR




Alhamdulillah, ada juga ruang masa untuk berceloteh dalam ruangan blog. Kali ini berminat mengutarakan tentang api lawannya air. Pasti ada di antara kalian sudah mencongak, yang tajuk entri kali ini berkaitan marah. Syabas! Tepat sekali tekaan kalian.

Apabila rasa marah menguasai jasad, rasa panas semacam. Laksana api membakar dari dalam. Anggota terasa ringan untuk mengeluarkan jurus-jurus yang berbekas. Jika tidak zahir, batin sudah pasti terguris.

Betapa indahnya Islam, mengesyorkan umatnya supaya mengambil wuduk untuk memadamkan api kemarahan. Bahkan jika wuduk tidak berkesan, mandi boleh menjadi galang-gantinya.

Apabila sudah marah, pasti perasaan terluka. Sukar menyingkir pilu. Payah menyingkir lara. Akhirnya, rasa tidak sedap untuk bertentang mata. Ingin saya berkongsi 5 tips yang boleh dilakukan untuk merapatkan kembali tali ukhuwwah yang terbertas.

1) Salam. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Muslim "Mahukah kamu, saya beritahukan sesuatu tentang yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Budayakanlah ucapan salam diantara kamu. Malah, salam menyebabkan bertautnya 2 tangan. Dari salam, kita tahu adakah seseorang itu benar-benar mahu meminta maaf atau sebaliknya. Jika sambil lewa perbuatan salamnya, mungkin orang tersebut mahu menjaga reputasinya atau sebab yang lain.

2) Ta'am. Belanja makan. Siapa yang tidak suka dibelanja dan makan free? insyaAllah jika kita ikhlas, dengan makanan yang kita belanja itu, dapat melembutkan hati orang yang menjauhkan diri daripada kita.

3) Dirham. Memberi hadiah.

4) Kalam. Bertuturlah dengan lemah lembut. Namun, jika orang tersebut mula meninggikan suara, seelok-eloknya kita bercakap dengan nada yang sama dengannya. Dan, kemudian melembutkan suara kita, supaya orang itu nanti sedar perubahan tersebut.

5) Qiyam. Solat, sabar dan doa. Serahlah urusan kepada Tuhan kita. Allahlah yang membolak-balikkan hati kita. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Moga-moga, tips ini dapat kita sama-sama amalkan, untuk memperkukuh ukhuwwah atau merapatkan kembali persaudaraan yang telah regang. Amin.

0 comments: